Artikel

Menara KL Kini Bawah Pengurusan Baharu – Untuk Tempoh 20 Tahun

Pentadbiran negara telah bersetuju untuk meletakkan Menara Kuala Lumpur di bawah pengurusan baharu syarikat tempatan – melibatkan kerjasama LSH Best Builders dan Service Master bagi konsesi selama 20 tahun. 

Peralihan pimpinan ini dijelaskan telah melalui proses saringan menyeluruh merangkumi aspek integriti serta kestabilan kewangan operasi. Difahamkan syarikat yang terlibat pada proses tender perlu memiliki keupayaan kewangan sekurangnya sekitar RM18 juta. 

Malah keputusan itu juga telah dicapai hasil penelitian jemaah menteri dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) berlandaskan permohonan daripada 5 pembida menerusi proses permintaan untuk cadangan. 

Pada tindakan lanjut, Kementerian Komunikasi memaklumkan pengambilalihan pengurusan Menara KL itu akan diperincikan kelak oleh UKAS.