SC, Suruhanjaya Sekuriti memaklumkan pihaknya akan memperkenalkan Bursa Sosial (Social Exchange) menjelang akhir 2024 ini. Di mana pendaftaran bursa tersebut dijadualkan akan mula dibuka pada suku pertama 2025.
Bursa Sosial untuk makluman merupakan medium pengumpulan dana khusus bagi menangani keperluan kumpulan yang kurang bernasib baik. Aturan ini difahamkan akan melibatkan hasil sosial bersama modal swasta dan pelabur. Antaranya akan bertindak merapatkan jurang pembiayaan bagi segmen perniagaan sosial termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
SC pada sidang GFIEF hari ini menjelaskan pelaksanaan bursa itu akan dipengerusi SC bersama penyertaan wakil daripada Kementerian Kewangan dan Bursa Malaysia. Setakat ini pihaknya masih merangka penubuhan bursa tersebut sebelum merealisasikan ia pada akhir tahun kelak.
Pada pelaksanaan yang sama, dimaklumkan setakat ini India antara negara yang telah laksanakan Bursa Sosial pada papan bursa saham mereka. Ini akan menjadi panduan buat negara untuk lebih memahami akan keperluan pelaksanaan bursa sosial mengikut pasaran semasa.
Berdasarkan perkongsian awal, SC telahpun menghantar kumpulan kajian ke India untuk penelitian lanjut. Antara tumpuan yang dikenalpasti merangkumi kebajikan sosial, pendidikan serta kualiti kesihatan.