Selain menjadi peneraju dalam penggunaan dompet digital, kini didapati warga emas iaitu generasi yang berusia 60 tahun ke atas di Malaysia – gemar membeli-belah secara atas talian dengan menggunakan medium media sosial. Tabiat itu memperlihatkan sekitar 52% warga emas negara suka berbelanja menggunakan media sosial.
Tinjauan di bawah Indeks Ayden 2024 ini memperincikan perubahan tingkahlaku perbelanjaan itu didasari berasaskan perkembangan lanskap peruncitan di Malaysia dengan penerapan perdagangan sosial yang kian meningkat. Setakat ini sahaja secara menyeluruh, 73% pengguna Malaysia menggunakan media sosial untuk membeli-belah berbanding purata global sebanyak 44%.
Malah lebih menarik tabiat berbelanja menggunakan media sosial ini dianggarkan sekitar 6 kali sebulan.
Berdasarkan pecahan mengikut kategori generasi, sudah pasti golongan muda menyumbang peratusan tertinggi selaku pembeli menggunakan media sosial untuk tempoh 12 bulan lalu. Di mana Gen Z (77%), Milenial (80%), Gen X (68%) dan Baby Boomer (52%).
Melihat pada potensi pertumbuhan pembelian menerusi media sosial ini, dimaklumkan peniaga negara telah menyesuaikan strategi perniagaan mereka mengikut pilihan pengguna. Susulan langkah itu, tinjauan dapati 73% peruncit di Malaysia telah meraih peningkatan hasil daripadan medium media sosial.
Maka untuk terus mengekalkan potensi ekonomi, Indeks Ayden menyasarkan pengukuhan jualan pada perdagangan sosial di Malaysia perlu dipertingkatkan – menerusi sistem pembayaran digital mahupun tahap keselamatan. Langkah ini tidak sekadar membantu meluaskan lagi pertumbuhan ekonomi tetapi turut melandaikan kesan ancaman penipuan yang berupaya menjejaskan aliran tunai pengguna.