AirAsia MOVE kini memaklumkan ciri akaun Pocket – dompet digital yang tersedia pada aplikasi akan ditutup menjelang 1 Ogos 2024 ini. Langkah itu menurut operasi adalah sebahagian aturan mereka untuk menampilkan pembaharuan segmen pada aplikasi.
Memahami perubahan ini akan memberi kesan, pengguna dinasihati untuk mengeluarkan baki yang terdapat pada Pocket dengan memindahkan ia ke akaun bank aktif pengguna. Ataupun baki tersebut boleh dipindahkan terus ke dalam dompet digital BigPay menerusi aturan tambah-nilai.
Seperti yang umum ketahui dompet digital BigPay telahpun diintegrasikan pada aplikasi AirAsia MOVE, sejak Oktober 2023. Menerusi aturan itu ia memudahkan pengguna menyemak baki akaun BigPay mereka secara terus dalam aplikasi dan benarkan pembelian dilakukan pada perkhidmatan AirAsia seperti penerbangan, pengangkutan mahupun penginapan hotel.
Berbalik kepada pengurusan baki di akaun Pocket ini – pengguna yang terlibat boleh melengkapkan borang permintaan pemindahan baki Pocket dan memilih saluran pemindahan baki anda selewatnya pada 31 Julai 2024 ini.
Setelah mengemukakan permohonan itu, difahamkan pemindahan baki akan dilakukan bermula 15 Julai 2024 atau mengambil masa sekitar 2 hingga 4 minggu, bagi proses pemindahan tersebut diselesaikan.