Artikel

Bermula 1 Okt 2024 – Kenderaan Asing Dari Singapura Wajib Miliki VEP Untuk Memasuki Malaysia

VEP, Peraturan Permit Kemasukan Kenderaan kini wajib ke atas semua kenderaan asing yang ingin memasuki pintu masuk ke Malaysia. Penguatkuasaan itu menurut Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) akan dilaksanakan secara berfasa, dimulakan dengan Singapura pada 1 Oktober 2024 ini.

Sementara fasa kedua VEP dijangka akan dilaksanakan ke atas kenderaan asing dari pintu masuk sempadan Thailand.

Adanya penerapan sistem permit ini, ia sekaligus akan meningkatkan tahap pematuhan kemasukan kenderaan di negara. Khususnya pengawalan peraturan jalanraya di Malaysia.

Ini bermakna sekiranya kenderaan asing memasuki negara tanpa tag VEP maka ia boleh dianggap melakukan kesalahan selaras dengan Seksyen 66H (7), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Berdasarkan kesalahan itu, pengguna berkaitan boleh dikenakan kompaun atau didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan mengikut Seksyen 119 (2) di bawah Akta 333. Selain itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai kuasa melarang mana-mana kenderaan asing yang tidak mempunyai VEP untuk masuk dan keluar dari negara ini.

Selain aturan permit masuk ini, pengenaan caj jalan turut akan dilaksanakan ke atas kenderaan asing tersebut.

Secara menyeluruh, pelaksanaan sistem tersebut akan melibatkan sejumlah RM150 juta perbelanjaan di pintu masuk Singapura. Manakala di Thailand pula masih diperingkat penelitian, dengan MOT mengalukan semua pihak yang berminat untuk mengendalikan sistem VEP bersama operasi aturan caj jalan di pintu masuk negara.