Pengguna CIMB kini diingatkan untuk memuat turun aplikasi CIMB OCTO – berikutan penawaran aplikasi CIMBClicks akan ditamatkan secara rasminya pada 11 Jun 2024.
Menurut notis, tindakan itu bermakna aplikasi CIMBClicks tidak lagi tersedia dan tidak boleh dimuat turun pengguna pada AppStore, Play Store serta AppGallery.
Peralihan ini juga mengikut CIMB, bertujuan menyediakan pengalaman perbankan atas talian yang lebih lancar bersama rekabentuk aplikasi yang lebih kemas dan akses yang lebih mesra kepada pengguna. Malah aturan itu juga sebahagian usaha kumpulan untuk meningkatkan tahap keselamatan pengguna aplikasi CIMB.
Susulan peringatan itu, para pengguna dinasihatkan untuk memuat-turun CIMB OCTO atau boleh mengakses akaun anda menerusi laman rasmi CIMB Clicks dengan menggunakan desktop atau pelayar. Sebarang makluman lanjut, semua pihak boleh merujuk pada pautan CIMB OCTO ini untuk tindakan seterusnya.