Bersama tema ekonomi Islam global lebih berdaya tahan – GFIEF, Global Forum of Islamic Economics & Finance yang mula berlangsung hari ini menyaksikan Malaysia optimis untuk meluaskan potensi ekonomi Islam negara bersama penyertaan antarabangsa.
Langkah itu menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak hanya tertumpu kepada pasaran halal semata-semata. Pasaran ekonomi Islam sewajarnya diperluas dengan meneroka cabaran baharu seperti sektor digital, AI, sekuriti makanan dan prinsip keadilan.
Tumpuan itu tidak sekadar meluaskan peluang ekonomi Islam bahkan mengukuhkan lagi kedudukannya pada pertumbuhan negara.
Malah pada sidang yang sama, PM Anwar turut memaklumkan negara akan melaksanakan beberapa agenda baharu antaranya program rintis kelestarian segmen halal dengan sokongan RM100 juta komitmen inovasi.
Diikuti tumpuan meningkatkan inisiatif zakat bagi memartabatkan keadaan sosioekonomi golongan asnaf di peringkat negeri.
Menerusi forum ini, sejumlah pemain industri meliputi tempatan dan antarabangsa telah terlibat bersama lebih 50 panel dan pelbagai pempamer syarikat diikuti penyertaan lebih 2,300 perwakilan daripada 75 negara. Dengan memperlihatkan penglibatan agensi, kementerian, dan pengawal-selia.
Buat pengetahuan umum, anjuran ini adalah hasil kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, International Islamic Liquidity Management Corporation, Islamic Development Bank, Islamic Financial Services Board dan World Bank Group.