Selaras dengan makluman penyasaran subsidi petrol yang dinyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim minggu lalu – Kementerian Kewangan (MOF) kini mengumumkan pemilik kenderaan diesel persendirian individu boleh memohon BUDI MADANI bagi meraih sokongan bantuan subsidi diesel di negara.
Selain kumpulan individu, saluran bantuan BUDI ini turut tersedia buat kumpulan petani kecil dan pekebun kecil komoditi negara – di mana akan dibuka mulai 28 Mei 2024 ini.
Di bawah bantuan ini, sejumlah RM200 sebulan akan disalurkan kepada kumpulan yang lepasi kriteria tersebut.
Mengikut kenyataan itu, pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu – boleh membuat permohonan di bawah kategori BUDI Individu sementara petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori BUDI Agri-Komoditi.
Juga difahamkan bagi setiap permohonan yang diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi (T20).
Ini kriteria yang digariskan MOF :
BUDI Individu
- Pemohon merupakan warganegara Malaysia;
- Memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan JPJ selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun;
- Kenderaan dimiliki mempunyai cukai jalan yang aktif;
- Pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 dan ke bawah.
BUDI Agri-Komoditi
- Pemohon berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keteriaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
- Pemohon merupakan petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.
Maka untuk tindakan lanjut semua pihak boleh layari pautan BUDI Madani yang akan dibuka sepanjang tahun. Bagaimanapun sekiranya permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun 2024, pemohon akan menerima BUDI MADANI pertama mereka menjelang pertengahan Jun 2024, dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan menerusi akaun berkaitan dan di cawangan BSN berdekatan.