Artikel

Bekal Elektrik Tanpa TNB, Kerajaan Akan Laksana Akses Pihak Ketiga – Pada September Ini

Bermula September ini, pentadbiran negara akan melaksanakan Akses Pihak Ketiga dalam industri bekalan elektrik Malaysia – di mana pelanggan tidak perlu melalui atau membeli daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Perkongsian Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof ini menjelaskan – inisiatif tersebut adalah di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang akan dilaksanakan pada 2025. Namun berikutan terdapat permintaan yang tinggi daripada sejumlah pelabur – pelaksanaan inisiatif itu diawalkan.

Mengikut perancangan, aturan itu akan diumumkan secara rasmi pada Julai ini dan kemudiannya dikuat kuasakan bermula September 2024 kelak.

Menerusi inisiatif itu, pihak lain boleh membekalkan tenaga kepada pelanggan tanpa perlu melalui dan tidak membeli daripada TNB. Ini bermakna pihak ketiga boleh membekalkan penjanaan kuasa tetapi masih akan menerusi kabel penghantaran TNB.

Selain agendan tersebut, Malaysia juga kekal optimis untuk menyasarkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) sekitar 40% dengan campuran bahan api menjelang tahun 2035. Langkah itu sekaligus akan merealisasikan matlamat negara dengan menjangkakan pengurangan penghasilan karbon dioksida sebanyak 10 juta tan setahun.