Artikel

Seramai 1.93 Juta Pekerja Berpendidikan Tinggi Di Malaysia – Tidak Miliki Kerjaya Setara Kemahiran

Pasaran ekonomi di Malaysia kini semakin rancak apabila memaparkan pertambahan jumlah penduduk bekerja kepada 16.40 juta individu, disusuli kadar pengangguran yang lebih rendah di paras 3.3%. 

Keadaan ini menurut DOSM pada Statistik Guna Tenaga Suku Pertama 2024 didorong hasil penawaran jumlah pekerjaan yang meningkat di pasaran negara. Di mana sejumlah 8.75 juta jawatan telah diisi. Meskipun pasaran pekerjaan semakin agresif, namun penawaran itu secara ketara menunjukkan pengisian pekerjaan separuh mahir di negara kekal meningkat dari suku ke suku – dengan kini Malaysia memiliki seramai 9.67 juta pekerja separuh mahir. 

Jumlah itu berdasarkan data tertumpu pada pekerja perkhidmatan dan jualan melibatkan seramai 4.18 juta individu (43.2%). Namun apa yang lebih utama adalah – jumlah ini menunjukkan lebih ramai pekerja berpendidikan tinggi di negara berada dalam kategori separuh mahir dan kemahiran rendah dengan jumlah 1.93 juta individu.

Sementara jumlah pekerja mahir pula mencatatkan sekitar 4.57 juta individu, diikuti jumlah pekerja berkemahiran rendah sekitar 2.16 juta individu.