Inflasi Malaysia terus memaparkan kadar yang sama iaitu pada 1.8% bagi rekod April 2024. Kadar ini secara langsung menunjukkan ia telah kekal selama 3 bulan berturutan semenjak Februari 2024.
Mengikut data Jabatan Statistik (DOSM) ini, secara menyeluruh peningkatan inflasi dilihat berlaku ke atas Restoran & Perkhidmatan, Penginapan dengan 3.5%, diikuti segmen Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barang & Perkhidmatan pula mencatatkan paras inflasi 3.1%.
Sementara Makanan & Minuman pula yang menyumbang 29.8% daripada seluruh wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) ini turut memaparkan peningkatan inflasi 2% dengan makanan di rumah naik kepada 0.4%. Manakala inflasi makanan di luar rumah pula meningkat lebih tinggi kepada 4.0%.
Antara item makanan di luar rumah yang merekodkan peningkatan kos lebih tinggi adalah seperti Nasi Campur, Nasi Goreng, Masakan berasaskan Mi dan Nasi Ayam.
Seterusnya berdasarkan taburan inflasi mengikut negeri pula, didapati 4 negeri merekodkan paras inflasi yang lebih tinggi dari paras inflasi nasional – iaitu Pulau Pinang (3.2%), Sarawak (2.8%), Pahang (2.4%) dan Selangor (2.2%).
Sementara dari aspek inflasi Makanan pula memperlihatkan Selangor 3.7%, Pulau Pinang (3.1%), Putrajaya (2.9%) dan Sarawak (2.1%).