Artikel

Produktiviti Buruh Di Malaysia Kini Meningkat 1.9% – Dengan 16.4 Juta Pekerja

Sejajarnya dengan lonjakan prestasi ekonomi negara bagi 3 bulan pertama 2024 sekitar 4.2% – kini didapati produktiviti pekerja di Malaysia telah meningkat 1.9% diikuti jumlah jam bekerja naik 2.2% kepada 9.5 bilion jam untuk tempoh tersebut. 

Perkongsian data Statistik Produktiviti Buruh (DOSM) ini menjelaskan peningkatan itu disumbangkan oleh sejumlah 16.4 juta pekerja di pasaran, di mana bilangan pekerja turut memaparkan pertambahan 2.1% bagi rekod tahun ke tahun. 

Pertumbuhan ini turut memperincikan berlakunya penngkatan 2.0% pada produktiviti buruh per pekerja kepada RM24,230 per pekerja bagi suku pertama 2024 berbanding RM23,744 per pekerja pada tahun lalu. 

Secara menyeluruh, sektor pembinaan memperlihatkan nilai tambah dalam prestasi produktiviti per jam bekerja dengan lonjakan 12.5%, disusuli sektor perlombongan dan pengkuarian naik 2.7%, perkhidmatan 1.8%, pertanian 0.9% dan pembuatan pula sedikit menyusut sekitar 0.3%.

Mengikut sasaran ekonomi mendatang, dijangka prestasi produktiviti negara akan terus positif kesan pemulihan struktur ekonomi Malaysia ketika ini. Sasaran itu didasari berasaskan pertumbuhan pasaran buruh dan aktiviti perniagaan yang lebih baik, diikuti sokongan pengukuhan modal insan dilihat akan merancakkan lagi segmen ekonomi negara secara berperingkat kelak.