Apabila bercakap tentang kad kredit, ramai di antara kita akan kaitkannya sebagai sumber peminjaman duit yang boleh menjerumuskan kita dalam kancah berhutang. Tidak dinafikan, hal ini sebenarnya merupakan salah satu tanggapan yang sering terjadi.

Namun sebenarnya, ada pelbagai kelebihan jika anda pandai menggunakan kad kredit. Terutama sekali jika anda mempunyai pengetahuan dan kefahaman yang mendalam tentang pengurusan kewangan, anda boleh jadikan kad kredit sebagai medium untuk menjejak aliran perbelanjaan anda. Melaluinya, anda boleh mengatur perbelanjaan dengan lebih efisien. Jadi, jika anda masih lagi ragu-ragu akan kelebihan menggunakan kad kredit, teruskan bersama kami sehingga ke penghujung artikel.
Bagaimana Kad Kredit Berfungsi?
Penggunaan kad kredit sebenarnya memberikan kemudahan dan fleksibiliti dalam membuat transaksi. Tetapi, ia juga penting untuk sentiasa berdisiplin ketika berbelanja, bagi memastikan perbelanjaan anda sejajar dengan bajet dan matlamat kewangan yang diinginkan.
Kebiasaannya untuk memohon kad kredit, kebanyakan bank akan membuat semakan untuk kelayakan bagi menentukan jenis kad kredit yang anda mungkin layak. Ini membolehkan anda kecilkan skop untuk memilih jenis kad kredit yang sesuai dengan keperluan. Antara beberapa faktor yang anda boleh pertimbangkan untuk memilih kad kredit adalah daripada segi kelayakan kredit dan program ganjaran seperti pulangan tunai apabila anda berbelanja. Kadang kala, anda juga boleh menikmati diskaun daripada kolaborasi kad perbankan.

Selain membuat transaksi untuk perbelanjaan harian, kad kredit juga memainkan peranan penting dalam mewujudkan dan membina sejarah kredit. Sejarah kredit yang positif dan baik boleh membuka pintu kepada peluang yang lebih menguntungkan pada masa akan datang. Ia seperti dapat menikmati kadar pinjaman dan gadai janji yang lebih baik serta insurans yang premium. Ia juga membolehkan anda untuk mengakses had kredit yang lebih tinggi, pada kadar faedah yang rendah dan penawaran yang lebih baik secara keseluruhan.
Jika anda tertanya-tanya bagaimana kad kredit ini berfungsi, ia sebenarnya membolehkan kita berbelanja dengan membuat pinjaman dari perbankan yang disokong oleh kad kredit kita sehingga had yang telah ditetapkan. Kemudian, setelah sampai pada tarikh yang ditetapkan, anda akan menerima bil dengan jumlah yang dibelanjakan setiap bulan. Disinilah disiplin dalam membuat pembayaran akan diambil kira.
Ini adalah beberapa tips pengurusan kewangan yang boleh anda amalkan:
#1 Biasakan Membuat Pembayaran Awal Waktu
Pertama sekali, anda boleh mengelak daripada dikenakan caj faedah dengan membuat pembayaran diawal waktu ataupun sebelum mendapat penyata kad kredit. Dengan sentiasa membuat pembayaran awal waktu, ia dapat mengelakkan anda daripada terlibat dengan risiko berhutang yang seterusnya akan membawa kepada lebih banyak tunggakan bayaran. Membuat pembayaran awal juga membolehkan anda untuk mendapatkan maklumat berkenaan baki simpanan anda dengan lebih tepat. Ini sekaligus akan membolehkan anda menjadi lebih berhati-hati dan bijak dalam mengawal perbelanjaan bulanan.
#2 Sentiasa Pantau Aliran Perbelanjaan Anda
Anda perlu berdisiplin dan pantau perbelanjaan anda secara berkala untuk memastikan apa dan seberapa banyak yang telah anda belanjakan. Ini sedikit sebanyak dapat memastikan anda sentiasa berbelanja dalam lingkungan bajet kewangan bulanan dan tidak berbelanja melebihi daripada kemampuan. Mempunyai had kredit yang besar bukanlah bermaksud anda perlu berbelanja kesemua kewangan anda. Ianya penting untuk menanam tabiat pengurusan kewangan yang baik dan memanfaatkan kad kredit dengan lebih bertanggungjawab.

Jadi jika difikirkan semula, sekiranya anda faham cara sebenar dan berkesan untuk menggunakan kad kredit dalam berbelanja, anda semestinya dapat memanfaatkan faedahnya. Anda juga boleh melihat penggunaan kad kredit ini sebagai cara yang baik untuk membantu anda berdisiplin dalam berbelanja. Ini kerana ia juga dapat membina tabiat mengurus kewangan yang baik. Jadi, jangan takut untuk menggunakan kad kredit, tetapi dengan syarat berbelanjalah dengan bijak.
Penafian : Advertorial daripada Visa