Artikel

Yayasan Peneraju, TERAJU & Ekuinas Diberi Peranan Khusus – Pacu Ekosistem Usahawan Bumiputera

Hanya 2.5% perniagaan di Malaysia dikategorikan sebagai syarikat besar – angka itu sekaligus menunjukkan negara berdepan kekurangan kapasiti medium untuk menampung bakat ekonomi bumiputera negara secara meluas. Maka menyedari kekangan itu, Malaysia kini laksana penjajaran semula kepada 3 agensi bermandat Bumiputera untuk mengembangkan ekosistem tersebut dalam pasaran negara.

Ini melibatkan peranan Yayasan Peneraju, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Ekuinas Nasional Berhad (Ekuinas). 

Aturan penjajaran semula agensi mandat bumiputera di bawah Kementerian Ekonomi hari ini menjelaskan Yayasan Peneraju akan bertindak selaku medium menyediakan 10,000 bakat profesional Bumiputera – sementara TERAJU pula menggalas peranan mengenalpasti 1,000 syarikat melibatkan startup sehingga syarikat sederhana Bumiputera yang berpotensi bersaing dan meluaskan skala syarikat mereka. Tidak hanya itu TERAJU turut berperanan laksanakan kerjasama dengan sektor swasta bagi  penyediaan kemudahan pembiayaan berjumlah RM1 bilion.

Seterusnya Ekuinas pula akan bertanggungjawab melonjakkan syarikat separa besar Bumiputera pada potensi penyenaraian di pasaran saham serta perluasan di pasaran antarabangsa. 

Menerusi peranan itu, ia memperincikan tumpuan tidak lagi bergantung kepada pengagihan bantuan berbentuk geran perniagaan semata-mata tetapi mengfokuskan kepada persaingan perniagaan kalangan kelas menengah Bumiputera yang lebih sistematik di pasaran semasa. 

Maka dengan adanya langkah penjajaran semula tiga agensi mandat bumiputera , pentadbiran optimis akan peningkatan pertumbuhan ekonomi secara berperingkat di masa hadapan akan diraih bersama pemabangunan ekonomi Bumiputera yang lebih saksama.