Artikel

Grab Rugi $115 Juta – Bagi 3 Bulan Pertama 2024

Grab Holdings, jenama teknologi yang menyediakan pelbagai kemudahan pada segmen pengangkutan dan makanan di Asia Tenggara – kini memperlihatkan pemulihan prestasi, susulan nilai kerugian terus mengecil pada suku pertama 2024. 

Prestasi bagi 3 bulan pertama 2024 ini, menunjukkan nilai kerugian Grab telah menurun sebanyak 54% kepada $115 juta. Kedudukan ini diraih hasil tindak balas Grab dalam melaras pelan perbelanjaan mereka secara berkala diikuti pertambahan ciri kemudahan perkhidmatan kepada pengguna. 

Langkah itu sekaligus meningkatkan prestasi pendapatan Grab, naik 24% kepada $653 juta. Perolehan ini antaranya disumbangkan peningkatan 19% kepada $350 juta oleh segmen penghantaran – yang disokong permintaan tinggi pada penghantaran makanan, segmen pasaraya Jaya Grocer dan segmen pengiklanan di aplikasi juga turut meningkat 46%. 

Sementara khidmat kewangan juga turut berkembang 53% kepada $55 juta bagi tempoh ini. Mencerminkan penggunaan pembayaran bersama GrabFin telah meningkat disusuli perluasan akses bank digital.