Artikel

MOT: 36.6 Juta Kenderaan Kini Berdaftar – Lebih Banyak Berbanding Manusia Di Malaysia

Kesesakan trafik di Malaysia diperhatikan terus meruncing – keadaan ini tidak menghairan apabila didapati setakat 2023, Malaysia kini memiliki 36.6 juta kenderaan berdaftar di seluruh negara

Perkongsian Kementerian Pengangkutan (MOT) itu secara jelas menunjukkan berlakunya peningkatan 5 juta kenderaan bermotor di negara dalam tempoh 5 tahun sejak 2019. Malah lebih membimbangkan, angka ini menjadikan jumlah kenderaan lebih tinggi berbanding populasi penduduk di Malaysia – yang kini dianggarkan 34.0 juta orang pada 2024

Melihat pada peningkatan itu, ketika ini Malaysia tidak miliki dasar untuk hadkan jumlah kenderaan tetapi MOT kekal optimis untuk menyeimbangkan situasi itu dengan menambahbaik sistem pengangkutan awam negara secara berkala. 

Tidak hanya itu, pada masa yang sama MOT turut menggalakkan semua pemilik kenderaan untuk memasang dashcam atau kamera papan pemuka pada kenderaan mereka. MOT akui pihaknya menerima beberapa cadangan tersebut.

Namun buat masa ini, tiada perancangan untuk mewajibkan pemasangan dashcam di Malaysia. Pihak MOT perlu meneliti terlebih dahulu dan laksana pertimbangan secara menyeluruh, melibatkan kos yang perlu ditanggung oleh rakyat sekiranya ingin menwajibkan langkah itu.