Artikel

Khazanah Nasional, KWSP Terajui Konsortium – Ambil Alih MAHB

Rentetan telah melaksanakan penggantungan perdagangan semalam, kini dimaklumkan tindakan penswastaan Malaysia Airports Holding Bhd akan direalisasikan. Langkah itu merangkumi aturan konsortium yang diterajui Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk ambil alih MAHB. 

Pada makluman pemfailan bursa, pada aturan konsortium tersebut – Gateway Development Alliance telah menawarkan untuk membeli keseluruhan baki 1.12 bilion saham yang belum dimiliki Khazanah dan KWSP, iaitu dengan nilai lebih RM12 bilion dengan RM11 sesaham pada MAHB.

Namun berlandaskan kenyataan berasingan, Khazanah dan KWSP dilaporkan akan bergandingan bersama Global Infrastructure Partners (GIP) dan Abu Dahbi Investment Authority (ADIA) untuk langkah peralihan tersebut. Dimaklumkan ia melibatkan nilai ekuiti berjumlah RM18.4 bilion. 

Ini bermakna sekiranya tawaran sukarela pra-syarat ini selesai maka ini akan meningkatkan pegangan Khazanah daripada 33.2% kepada 40%, sementara KWSP pula daripada 7.9% kepada 30%. Maka secara amnya, pelabur tempatan akan meraih 70% MAHB disusuli GIP dan ADIA 30%. 

Bagaimanapun gambaran awal itu kekal tertakluk kepada beberapa prasyarat tertentu yang tidak diperincikan. Berdasarkan aturan itu, dijangkakan saham MAHB akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia setelah kesepakatan tawaran mencapai penyelesaian kelak. 

Setakat ini, dijangka ia berpotensi capai penyelesaian pada suku keempat tahun 2024 ini.