Artikel

Malaysia Kini Atasi Thailand, Jadi Pasaran Kenderaan Kedua Terbesar Di Asia Tenggara

Hanya dengan melihat kesesakan trafik di Malaysia sahaja, sudah memberi gambaran awal kepada kita bahawa – pasaran automatif negara sememangnya menguntungkan dan semakin rancak. Maka tidak hairanlah sekiranya Malaysia kini berjaya atasi Thailand, menjadi pasaran kenderaan kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Indonesia. 

Makluman Nikkei Asia berasaskan data jualan kenderaan oleh kumpulan industri ini menjelaskan, pertumbuhan itu telah berlangsung selama tiga suku berturutan sehingga Mac 2024 lalu bersama peningkatan 5% berbanding suku pertama 2023. 

Pertumbuhan ini tidak sekadar didorong pengecualian cukai jualan ketika tempoh pandemik, tetapi penawaran model baharu kenderaan elektrik pada harga yang berdaya saing turut membantu sektor automatif Malaysia meraih rangsangan penjualan.

Persatuan Automatif Malaysia (MAA) bagaimanapun menjangkakan jualan kenderaan pada 2024 akan alami penurunan 7.5% berikutan tekanan kos semasa yang didepani pengguna ketika ini akan mengubah fokus perbelanjaan mereka. Namun sebaliknya, jualan EV dan hibrid pula berpotensi berkembang susulan meraih sokongan perluasan infrastruktur dan insentif di pasaran.