Artikel

Populasi Malaysia Kini Dianggarkan Capai 34 Juta Orang

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini memaklumkan, anggaran jumlah penduduk di negara kini sekitar 34.0 juta individu – di mana berlakunya peningkatan 2.3% pertumbuhan penduduk berbanding suku pertama pada tahun lalu dengan jumlah 33.2 juta penduduk.

Berdasarkan perincian data demografi ini, 30.6 juta (90%) orang ialah warganegara sementara 3.4 juta (10%) orang lagi merupakan bukan-warganegara

Jumlah ini turut memaparkan angka penduduk lelaki terus meningkat kepada 17.8 juta individu, diikuti penduduk perempuan pula kepada 16.1 juta individu. Angka itu sekaligus menunjukkan nisbah jantina penduduk lelaki:perempuan kepada 111:100. 

Sementara taburan mengikut etnik pula, memperlihatkan penduduk Melayu seramai 17.7 juta orang (57.9%), Cina (22.6%), India (6.6%), dan Bumiputera (12.2%)

Manakala pada taburan angka kelahiran pula dilihat menurun 9.4% bagi 3 bulan pertama tahun 2024 ini kepada rekod 106,386 kelahiran. Ia lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023 dengan rekod 117,413 kelahiran. Catatan kematian juga turut menurun bagi suku pertama 2024 kepada 47,964 kematian berbanding 48,693 kematian direkodkan pada suku pertama 2023. 

Secara menyeluruh, data populasi ini turut menggariskan Selangor menjadi negeri yang paling ramai penduduk dengan seramai 7.34 juta penduduk, diikuti Johor (4.17 juta penduduk) dan Sabah (3.73 juta penduduk) setakat 3 bulan pertama 2024 ini.