Untuk terus kukuh dalam industri pawagam – Golden Screen Cinemas (GSC) kini mengumumkan langkah pembaharuan rangkaian mereka pada pasaran negara. Antaranya meluaskan pegangan pada lokasi utama di Malaysia.
Pada kenyataan rasmi GSC minggu ini, aturan itu tidak sekadar memberi tumpuan kepada lokasi yang lebih strategik untuk operasi pawagam baharu bahkan tindakan menambahbaik kemudahan dan penempatan semula di beberapa cawangan pawagam yang tersedia turut akan dilaksanakan – langkah itu akan membabitkan cawangan GSC Central Square Sungai Petani dan GSC Amanjaya Mall.
Selain komitmen itu, GSC turut memaklumkan akan membuka cawangan baharu di KL East Mall menjelang 20 Mei ini. Pembukaan itu kelak akan turut menyediakan pilihan IMAX dan PlayPark ketiga di Malaysia. Ini sekaligus meningkatkan lagi kemasukan kategori penonton melibatkan kumpulan keluarga dan generasi muda.
Menerusi perkongsian ini GSC memaklumkan pihaknya terus optimis menyediakan pengalaman berganda bersama pengguna Malaysia dengan menambahbaik tumpuan lokasi pawagam mereka bersama sokongan teknologi yang lebih mesra pengguna.