Bank Negara (BNM) dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) kini bertindak melanjutkan usahasama mereka pada pembangunan aplikasi BNM Geospatial System, yang telah dimulakan sejak 2017 lagi.
Sistem yang berteraskan teknologi geospatial angkasa ini untuk makluman telah berjaya membantu bank pusat laksana pemantauan berhubung taburan berkaitan akses khidmat kewangan di seluruh Malaysia.
Antaranya membantu BNM mengesan kawasan yang kurang mendapat akses khidmat kewangan, beri tumpuan pada lokasi yang memerlukan inisiatif Bank Bergerak di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulih Ekonomi (PEMULIH) dan mengenalpasti aktiviti ekonomi sesebuah kawasan bagi tujuan menaik-taraf ekosistem kewangan mereka. Ini meliputi pelan membuka cawangan, dan penempatan mesin terminal layan diri (SST).
Maka adanya lanjutan usahasama kedua pihak ini – sistem aplikasi tersebut akan diperluas dengan tambahbaik aspek pengurusan, perancangan serta pemantauan aset pada operasi BNM.
Tidak hanya itu, penggunaan ini turut akan diperluaskan kepada bank-bank lain di seluruh Malaysia serta pihak berkepentingan di bawah seliaan BNM.
Buat pengetahuan umum, sehingga 2023 – MYSA telah membangunkan dan mengoperasikan sebanyak 55 sistem aplikasi berteraskan teknologi angkasa yang dimanfaatkan oleh lebih daripada 90 agensi pengguna dalam pelbagai bidang seperti pertanian, perikanan, perhutanan, sumber asli dan alam sekitar, pemantauan tanah dan sebagainya.