Jika sebelum ini, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekadar memiliki dua akaun simpanan caruman sahaja. Kini, bermula 11 Mei 2024 – KWSP telah bertindak menstrukturkan semula akaun simpanan caruman kepada tiga akaun utama iaitu Akaun Persaraan (Akaun 1), Akaun Sejahtera (Akaun 2) dan Akaun Fleksibel (Akaun 3).
Langkah ini adalah tindak-balas kepada KWSP untuk meyeimbangkan semula penyusutan simpanan persaraan pencarum yang telah berlaku disebabkan hasil pengeluaran menerusi i-Lestari, i-Sinar, i-Citra serta Pengeluaran Khas.
Tahukah anda, sebanyak RM145 bilion telah dikeluarkan oleh pencarum pada saluran tersebut. Situasi ini sekaligus berupaya merencatkan potensi pencarum untuk memiliki dana pencen yang memadai. Maka adanya penambahan Akaun 3, ia dilihat berpotensi membantu pencarum meningkatkan semula kesejahteraan wang pencen mereka.
Namun Rnggt pasti, ramai pencarum masih keliru dan memiliki persoalan – bagaimana Akaun 3 KWSP ini berfungsi? Dan apa peranannya dalam membantu pengguna dalam pengurusan wang? Mari kita lihat perinciannya;
Apa Itu Akaun 3 KWSP?
Akaun 3 atau dinamakan sebagai Akaun Fleksibel ini bertujuan memberi kebebasan kepada para pencarum untuk penuhi tuntutan kewangan mereka bagi jangka masa pendek. Ia bermakna, menerusi Akaun 3, para pencarum boleh laksana pengeluaran tunai pada bila-bila masa mengikut keperluan masing-masing.
Susulan penambahan Akaun 3 ini juga, pecahan peratusan simpanan caruman pencarum turut akan dilaraskan. Sebelum ini pecahan peratusan melibatkan 70% simpanan caruman ke Akaun 1 dan 30% simpanan caruman ke Akaun 2. Namun perubahan peratusan telah berlaku disebabkan pertambahan Akaun 3 – dengan 75% simpanan caruman ke Akaun 1, 15% simpanan caruman ke Akaun 2 dan 10% simpanan caruman ke Akaun 3.
Kemudahan itu secara langsung, tidak akan menjejaskan wang persaraan yang terdapat pada Akaun 1 dan ini akan turut membantu pencarum meningkatkan lagi simpanan persaraan mereka secara berperingkat. Lebih menarik selain pengeluaran menerusi cawangan fizikal, pencarum juga dapat wang secara terus menerusi aplikasi KWSP.
Berapa Jumlah Wang Yang Boleh Dipindahkan Ke Akaun 3?
Selari dengan pelaksanaan Akaun 3 ini, KWSP memaklumkan akan memberi tempoh bermula 12 Mei sehingga 31 Ogos 2024 kepada pencarum – bagi menentukan jumlah pindahan wang yang ingin dilaksanakan daripada Akaun 2 kepada Akaun 3 untuk pindahan amaun permulaan. Langkah itu difahamkan hanya boleh dilaksana secara one-off sahaja.
Maka untuk memudahkan pengguna, ini 3 senario pindahan wang yang perlu pencarum fahami sebelum melaksanakan pindahan wang ke Akaun 3 KWSP;
1# Pencarum Miliki Baki Bawah RM1,000 Dalam Akaun 2
Pertama – jika pencarum memiliki simpanan bawah RM1,000 dalam Akaun 2, maka jumlah maksimum yang boleh dipindahkan adalah semua jumlah tersebut. Ini bermakna, tiada baki dalam Akaun 2.
2# Pencarum Miliki Baki Lebih RM1,000 & Bawah RM3,000 Dalam Akaun 2
Kedua – sekiranya pencarum memiliki baki simpanan lebih RM1,000 dan kurang daripada RM3,000 dalam Akaun 2, maka jumlah maksimum yang boleh dipindahkan pencarum hanyalah RM1,000 sahaja. Manakala lebihan baki simpanan daripada jumlah tersebut akan kekal dalam Akaun 2.
3# Pencarum Miliki Baki Lebih RM3,000 Dan Ke Atas Dalam Akaun 2
Ketiga – berbeza pula dengan pencarum yang memiliki jumlah baki simpanan lebihi RM3,000 dalam Akaun 2 mereka, terdapat 3 pecahan pengiraan akan berlaku. Ini melibatkan 10/30 daripada baki akan dipindahkan ke Akaun 3, manakala 5/30 daripada baki akan dipindahkan ke Akaun 1 dan 15/30 daripada baki pula akan kekal dalam Akaun 2.
Ini bermakna, sekiranya terdapat RM10,000 dalam Akaun 2 pencarum – maka sejumlah RM3,333 akan dipindahkan ke Akaun 3, diikuti RM1,666 akan dipindahkan ke Akaun 1 dan RM5,000 pula kekal dalam Akaun 2.
Pengeluaran Wang Akaun 3 Boleh Serendah RM50
Setelah memahami 3 senario pindahan wang melibatkan jumlah baki simpanan yang tersedia dalam Akaun 2 – pencarum kelak boleh laksana pengeluaran pada bila-bila masa, malah rendah RM50 turut boleh dilakukan berlandaskan amaun minimum pengeluaran.
Selain menerusi aplikasi KWSP i-Akaun, pencarum juga boleh memohon pengeluaran di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara. Sementara untuk pihak yang masih belum mendaftar digalakkan untuk berbuat demikian bagi membolehkan transaksi pengeluaran Akaun 3 direalisasikan.
Sementara untuk pencarum yang telah mencapai usia 55 tahun pula, dimaklumkan dana simpanan tiga akaun tersebut akan disatukan ke dalam Akaun 55 dan Akaun Emas. Kumpulan ini boleh laksanakan pengeluaran secara terus susulan telah mencapai usia persaraan.
Menerusi penjelasan itu, diharap semua pencarum KWSP memanfaatkan kemudahan ini sebaik mungkin tanpa menjejaskan simpanan pencen anda. Ini kerana, berdasarkan dapatan KWSP mengikut kesesuaian penduduk bandar – rakyat Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya RM600,000 sekiranya ingin bersara untuk menampung perbelanjaan mereka di hari tua kelak.
Manakala paras ideal wang pencen untuk pencarum luar bandar pula adalah sekitar RM500,000.
Untuk mencapai paras tersebut, diharap semua pihak lebih bertanggungjawab dalam menentukan jumlah pindahan yang akan dilaksanakan pada Akaun 3, Akaun Fleksibel kelak. Tindakan ini secara langsung akan menentukan perolehan wang sara pencarum di masa hadapan.