Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan paras Kadar Dasar Semalaman adalah 3.00% – langkah itu sekaligus menjadikan ia kadar yang sama selama setahun, sejak ia dinaikkan pada Mei 2023 lalu.
Pelarasan di bawah sidang Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) ini memperincikan persekitaran ekonomi Malaysia kekal mengukuh. Didorong pertumbuhan eksport yang positif, diikuti permintaan dalam negeri yang stabil.
Malah aliran perbelanjaan isi rumah di negara juga kekal berdaya saing, dan disokong prestasi pasaran kerja yang lebih baik berikutan kadar pengangguran telah menurun ke paras 3.3% setakat Februari lalu.
Sementara paras inflasi keseluruhan dan inflasi teras pula terus kekal sederhana dengan 1.7% dan 1.8% pada 3 bulan pertama tahun 2024. Ia mencerminkan persekitaran permintaan negara terus stabil dan tekanan kos masih terkawal.
Pasaran ekonomi Malaysia pada tahun ini dijangka akan bergantung kepada langkah kerajaan dalam melaksanakan dasar berkaitan subsidi, kawlaan harga, serta aturan perkembangan harga komoditi kelak. Untuk peringkat awal – dijangka inflasi keseluruhan berupaya mencapai sehingga 3.5% sementara inflasi teras pula berupaya mencapai sehingga 3.0% bagi tahun 2024.
Secara menyeluruh, BNM akan terus memantau dan berwaspada akan perkembangan pasaran semasa dan menjamin pertumbuhan ekonomi Malaysia terus mampan tatkala keadaan harga kekal stabil.