Biarpun penyertaan pasaran buruh negara semakin meningkat, namun paras kemiskinan dilihat kekal tinggi berikutan berdepan tekanan kos semasa. Melihat pada persekitaran itu, UNICEF kini mencadangkan pentadbiran untuk menyemak semula paras gaji minimum kepada RM2,102 sebulan bagi menampung keperluan semasa.
Pelarasan RM1,500 sebulan pada pasaran semasa diperhatikan tidak memadai.
Tinjauan UNICEF Malaysia pada laporan Ranjau Sepanjang Jalan yang tertumpu di Kuala Lumpur ini secara jelas – menunjukkan kadar kemiskinan negara masih lagi tinggi dengan paras 41% setakat Oktober 2023. Dengan 8 daripada 10 isi rumah didapati alami kesukaran meraih pendapatan yang cukup untuk menampung perbelanjaan asas secara berterusan.
Berikutan kekangan itu, laporan dapati isi rumah terpaksa mengurangkan perbelanjaan mereka dan mengurangkan pengambilan makanan – kesannya akan menjejaskan tahap kesihatan dan fokus pendidikan.
Maka penawaran gaji dan upah yang lebih setimpal wajar diteliti semula oleh pihak berkepentingan. Ini kerana perolehan pendapatan yang lebih baik adalah wajar untuk jangka masa panjang. Ia berbeza dengan agihan bantuan tunai dan kawalan harga barang yang lebih bersifat jangka masa pendek.
Selain tumpuan melaras semula paras gaji minimum, UNICEF turut melihat usaha menambah-baik perlindungan sosial dan meningkatkan tahap kesedaran kesihatan mental dan seksual juga penting untuk membantu sektor ekonomi Malaysia berdaya saing. Perluasan manfaat ini akan mendorong perolehan yang lebih baik pada pasaran negara di masa hadapan.