Bagi mengembalikan semula era kegemilangan Malaysia, yang pernah tampil selaku pengeluar utama dunia – negara kelak akan memperuntukan sejumlah RM9.5 juta bagi meluaskan lagi potensi penanaman koko di pasaran tempatan.
Aturan di bawah Lembaga Koko Malaysia (LKM) ini akan memperlihatkan pelaksanaan projek Tanaman Baharu Koko seluar 350 hektar, diikuti Pemulihan Kebun Koko seluas 2,126 hektar akan dijalankan kelak.
Perkongsian Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) pada pelancaran KitKat Dark Borneo hari ini, secara jelas ingin memajukan sektor komoditi negara di pasaran antarabangsa termasuklah menaik-taraf pendapatan kalangan peladang dan petani tempatan.
Adanya keyakinan Nestle Malaysia, dengan memilih hasil koko menerusi pengurusan tanaman mampan daripada Sabah dan Sarawak pada produk mereka ini – ia sekaligus mencerminkan keupayaan hasil negara memiliki kualiti tertinggi. Ini akan merancakkan lagi kemasukan pelbagai produk lain. Tindakan itu turut kelak akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia pada senarai pengeluar biji koko dunia.
Buat pengetahuan umum, walaupun penghasilan eksport koko telah berjaya menyumbang sekitar RM8.2 bilion pada tahun lalu namun ketika ini Malaysia berada di kedudukan ke-40 bagi senarai pengeluar biji koko dunia untuk tahun 2022/2023.
Kedudukan negara masih keterbelakang berbanding Vietnam dan Indonesia. Maka perluasan penyelidikan dan pembangunan (R&D) harus diperkasakan bagi memacu tanaman koko secara berkala untuk manfaat ekonomi negara di masa hadapan.