Artikel

Pengurangan Subsidi Petrol Dijangka Bermula Jun Ini – Laporan

Pentadbiran negara dijangka melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi petrol bermula bulan hadapan, iaitu Jun 2024. Langkah ini difahamkan akan dilaksana secara berperingkat. 

Menurut laporan The Straits Times, kerajaan kini dalam perincian berhubung pelaksanaan pemotongan subsidi minyak tersebut dan difahamkan pelan itu perlu dilaksanakan selewatnya pada Jun ini.

Bagaimanapun, setakat ini masih tiada maklumat rasmi daripada kerajaan negara berhubung tempoh permulaan pelan subsidi petrol itu. Namun menerusi lanjutan pelan ini, dijangka Malaysia berpotensi jimat RM17 bilion sekiranya golongan berpendapatan tinggi (T20) tidak meraih subsidi bahan api tersebut. 

Malah pelan potongan subsidi ini turut berupaya melandaikan tekanan perbelanjaan negara. Di mana kerajaan sebelum ini membelanjakan sejumlah RM50.8 bilion untuk subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG). Daripada jumlah itu sekitar 35% dinikmati oleh kelas pendapatan T20.

Secara menyeluruh, meskipun tiada perincian tempoh yang dikongsikan – sebelum ini Kementerian Ekonomi telah menegaskan, Malaysia akan kekal laksanakan agenda tersebut pada tahun ini. 

Sekiranya pelaksanaan tersebut ditangguh, ini akan memberi kesan kepada sasaran pertumbuhan negara. Di mana untuk mencapai paras fiskal 4.3%, pengurangan tersebut perlu dijalankan mengikut garis masa yang ditetapkan.

Maka terdapat potensi, pelan tersebut akan dilaksanakan pada separuh kedua 2024 ini. Sama-sama kita nantikan kenyataan rasmi daripada kerajaan Malaysia kelak.