Artikel

Arab Saudi Kini Wajibkan Semua Jemaah Haji Miliki Kad Nusuk

Dalam usaha menambah-baik prosedur dan kemudahan ibadah haji secara berkala, para jemaah kini dimaklumkan perlu memiliki kad Nusuk.

Pemilikan kad Nusuk yang akan digunakan pada musim haji tahun ini bertujuan memudahkan pengurusan untuk mengesahkan identiti para jemaah bersama petugas ibadah yang terlibat. Usaha ini sekaligus membantu pentadbiran Saudi mengekang kemasukan individu yang mengerjakan ibadah haji secara haram. Ia secara langsung meningkatkan lagi pelindungan keselamatan jemaah. 

Selain pengesahan identiti, kemudahan kad ini turut menyertakan data penting jemaah, jadual pergerakan jemaah bersama pengendali haji diikuti rekod kesihatan untuk langkah kecemasan. 

Susulan saranan itu, difahamkan cetakan kad fizikal Nusuk tersebut akan dihantar kepada para jemaah bersama pengendali. Sementara pada versi kad digital pula, jemaah boleh dapatkan salinan tersebut pada aplikasi Nusuk dan Tawakkalna dengan mengimbas kod QR tersedia. 

Menerusi tindakan ini, para jemaah tempatan dan luar negara diwajibkan untuk membawa kad tersebut sepanjang tempoh haji itu berlangsung, bermula dari ketibaan sehingga waktu pulang. Secara menyeluruh, para jemaah boleh merujuk pada pengendali haji yang terlibat dan pada aplikasi Nusuk serta Tawakkalna.