Artikel

Bermula 1 Julai Ini – Nestlé Malaysia Naikkan Harga 22 Produknya

Susulan lonjakan harga koko di peringkat global pada tahun lalu telah mencapai 246%, Nestlé Malaysia kini bertindak menyelaraskan semula harga sejumlah produknya untuk menangani tekanan kos tersebut. Maka berdasarkan langkah itu, bermula 1 Julai 2024 ini, dimaklumkan terdapat 22 produk Nestle akan alami kenaikan harga di pasaran negara.

Gabungan Persatuan Peniaga Barangan Pelbagai Malaysia (FSGMAM) memaklumkan pihaknya telah menerima notis Nestlé Malaysia berhubung pelarasan harga tersebut. Mengikut laporan The Edge, antara produk yang berdepan perubahan harga itu adalah produk minuman Nescafe, Milo serta barangan sos seperti Sos Tomato Maggi.

Secara menyeluruh, pelarasan harga senarai produk tersebut dianggar melibatkan peningkatan kos sehingga 6%.

Berbalik kepada peningkatan harga, Nestlé Malaysia kekal optimis pada pertumbuhan operasinya meskipun bertindak melaras-naik harga segelintir produk. Pihaknya beri jaminan perubahan harga itu di paras minimum dan tidak membebankan kuasa beli pengguna.