Artikel

Kumpulan AirAsia Sasar Disenaraikan Pada Bursa Malaysia – Menjelang September 2024 Ini

Kumpulan AirAsia (AAG) terus optimis untuk mengukuhkan operasi mereka, apabila menyasarkan disenarai pada papan Bursa menjelang September kelak. 

AAG iaitu syarikat penerbangan di bawah gabungan AirAsia Aviation Group (AAGL) yang memiliki anak syarikat AA di Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja tidak lama lagi akan bersama AirAsia Bhd (AAB) untuk pengendalian operasi di Malaysia. 

Pada aturan itu ia sekaligus akan menyelaraskan segmen penerbangan AA pada satu saluran yang sama dengan tampil selaku peneraju syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di rantau Asia. 

Langkah ini juga secara langsung akan memberi ruang kepada Capital A untuk keluar daripada status PN17 – setelah kesepakatan pelupusan anak syarikat milik penuhnya iaitu AAGL dan AAB bernilai RM6.8 bilion dilaksanakan. 

Susulan pengasingan cabang itu, Capital A akan kekalkan 4 segmen perniagaan teras mereka merangkumi MOVE Digital, Capital A International, Teleport dan Capital A Aviation Services.


Apa Itu PN17?

PN17, atau Nota Amalan (Practice Note) 17/2005 adalah suatu aturan yang ditetapkan Bursa Malaysia terhadap kumpulan syarikat yang bermasalah dari aspek kewangan. Penyenaraian ini berisiko mengakibatkan sesebuah syarikat terkeluar daripada papan Bursa Malaysia. Secara ringkasnya, entiti berkaitan gagal memenuhi kriteria minimum yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia.

Untuk makluman ini antara ciri membawa kepada klasifikasi PN17;

  • Dana pemegang saham syarikat kurang daripada 25% daripada jumlah modal berbayar
  • Penerima telah dilantik untuk mengawal aset syarikat
  • Penggulungan beberapa anak syarikat mereka dan syarikat bersekutu
  • Juruaudit telah memberikan kenyataan negatif atau tidak seimbang tentang syarikat
  • Tidak patuhi faedah pinjaman dan pembayaran balik hutang syarikat
  • Syarikat telah menangguhkan atau menghentikan operasi
  • Syarikat tidak memiliki perniagaan ataupun operasi yang signifikan