Artikel

KWSP: Pengeluaran Tahun Pertama Akaun Fleksibel – Berpotensi Cecah RM25 Bilion

Berikutan kenyataan rasmi yang dikongsikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini, berhubung langkah penstrukturan semula akaun caruman ahli kepada tiga akaun bermula 11 Mei kelak – dijangka bagi tahun pertama sejumlah RM25 bilion pengeluaran berpotensi direkodkan pada Akaun Fleksibel (Akaun 3) kelak.

Anggaran dapat dicapai sekiranya semua ahli KWSP bertindak memilih manfaatkan Akaun Fleksibel dengan jumlah dana yang dipindahkan sekitar RM57 bilion, maka pengeluaran tahun pertama adalah sekitar RM25 bilion.

Meskipun angka tersebut dilihat besar, namun KWSP menerusi kenyataan CEO Ahmad Zulqarnain optimis kaedah itu tidak akan memberi kesan kepada portfolio pelaburan dana persaraan kelak. Tindakan ini menurut pihak mereka adalah berbeza akan langkah pengeluaran yang dilaksanakan ketika fasa pandemik lalu. Di mana sejumlah RM145 bilion pengeluaran telah dicatatkan.

Dengan adanya Akaun Fleksibel – ini akan membolehkan para pencarum bawah 55 tahun untuk mengakses kemudahan tunai pada bila-bila masa. Malah kumpulan pencarum turut diberi tempoh 11 Mei sehingga 31 Ogos 2024 untuk memindahkan baki simpanan Akaun Sejahtera (Akaun 2) kepada jumlah permulaan Akaun Fleksibel.

Sekiranya langkah tersebut, tidak dilaksanakan maka baki Akaun Sejahtera kekal pada amaun semasa dan Akaun Fleksibel pula akan bermula dengan baki sifar.