Artikel

Malaysia Belanja RM4 Bilion Setahun – Atasi Penyakit Diabetes

Ketika ini hampir 5 juta rakyat negara berisiko berdepan pradiabetes dan diabetes, susulan amalan gaya hidup yang tidak seimbang terutamanya berhubung pengambilan makanan. Selain itu, ia turut didorong akan faktor genetik serta pembangunan sosio-ekonomi negara.

Buat pengetahuan umum, hampir 50% kos rawatan semasa melibatkan RM4 bilion telah dibelanjakan negara untuk menangani peningkatan penyakit tersebut. Dan peningkatan penyakit ini bukanlah perkara baharu buat rakyat Malaysia.

Aliran peningkatan diabetes diperhatikan telah berlaku sejak tahun 2011 lagi. Di mana data sehingga 2019 memaparkan anggaran 1 daripada 5 orang dewasa di Malaysia berdepan masalah diabetes. Pada aliran itu, turut membimbangkan adalah peratusan kumpulan yang tidak mengetahu mereka menghidap diabetes juga terus melonjak.

Setakat ini, secara jelas prevalens diabetes kalangan penduduk dewasa di Malaysia terus meningkat – daripada 2011 dengan 11.2%, 2015 (13.4%) kepada 18.3% pada 2019.

Malah dijangka data itu berupaya melonjak berikutan percambahan pelbagai produk makanan dan minuman segera di pasaran semasa – diikuti tekanan pekerjaan dalam pasaran buruh dan peningkatan kos sara hidup juga berpotensi meningkatkan jumlah penghidap diabetes di negara.