Setelah berteka-teki berkenaan akaun caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) – kini dimaklumkan penstrukturan semula Akaun KWSP akan berkuat kuasa mulai 11 Mei 2024 kelak, dengan pecahan kepada 3 akaun caruman.
Seperti yang dilapor sebelum ini, penstrukturan semula 3 akaun tersebut akan dinamakan semula sebagai Akaun Persaraan (Akaun 1), Akaun Sejahtera (Akaun 2) dan Akaun Fleksibel (Akaun 3).
Pembaharuan ini difahamkan akan melibatkan kumpulan pencarum berusia 55 tahun ke bawah sahaja. Ini bermakna kumpulan pencarum yang telah lepasi had usia persaraan tidak akan terlibat.
Pada pelaksanaan itu, Akaun Persaraan akan memperlihatkan sumbangan 75% caruman, diikuti Akaun Sejahtera 15% dan Akaun Fleksibel pula 10%.
Jelas KWSP, bagi tempoh 11 Mei 2024 – 31 Ogos 2024, ahli diberi pilihan sekali sahaja untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel.
Sekiranya ahli tidak membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera. Akaun Fleksibel akan bermula dengan caruman baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selepas tarikh pelaksanaan.
Menerusi inisiatif ini, ia sekaligus akan membantu para pencarum memenuhi keperluan mereka ketika tempoh kecemasan dan kemudahan tunai pada jangka masa pendek tanpa menjejaskan Akaun 1 serta Akaun 2.