Artikel

Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia Akan Diperbaharui – Bagi Pelaksanaan Mulai 2026

Rentetan pelan 10 tahun sistem pendidikan tinggi negara akan tamat pada tahun hadapan, pentadbiran kini dalam semakan untuk memperbaharuinya dan akan melaksanakannya bermula tahun 2026. 

Untuk makluman, sebelum ini pelan pembangunan pendidikan tinggi negara tertakluk pada tempoh perancangan selama 10 tahun iaitu tahun 2015 sehingga 2025.

Pembaharuan tersebut menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada perkongsian di acara lawatan Universiti Limkokwing ini – akan disemak berasaskan sistem sedia ada dan meneliti permintaan kemahiran semasa ekonomi, merangkumi perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), sekuriti serta perluasan latihan teknikal, vokasional (TVET) dalam sistem pendidikan tinggi negara.

Selain tumpuan itu, Malaysia turut ingin meningkatkan kualiti kemudahan institut pendidikan tinggi negara. Aturan itu seiring dengan pertambahan pelajar termasuklah dengan jangkaan peningkatan 100,000 kemasukan pelajar luar negara pada tahun ini. 

Ketika ini sahaja Malaysia memiliki sejumlah 200,000 pelajar asing yang menuntut dalam sektor pendidikan tinggi negara. Melihat pada percambahan itu, penyediaan pelan pendidikan tinggi yang lebih komprehensif perlu disediakan negara untuk memastikan penghasilan bakat seiring dengan permintaan semasa ekonomi.