Artikel

Wahed Ventures Sasar Tarik Lebih $50 Juta Pelaburan Modal Teroka

Wahed Ventures menjangkakan, dalam tempoh 5 tahun mendatang lebih $50 juta pelaburan modal teroka berupaya diraih oleh platform pendanaan awam ekuiti patuh-syariah baharu mereka. Menerusi perolehan itu, ia berupaya membantu lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di pasaran negara.

Penampilan Wahed Ventures yang diumumkan pada sidang KL20 ini, adalah tindak balas jenama untuk merangsang pelaburan yang lebih rancak dalam arena perniagaan semasa dan dimaklumkan perkhidmatan pada platform itu akan dilancar pada Mei ini.

Buat pengetahuan umum, peranan Wahed Ventures ini telahpun meraih kelulusan prinsip di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan para pelabur boleh menyertai senarai menunggu untuk akses pada segmen pelaburan tersebut.

Sejak memasuki pasaran negara pada tahun 2019, Wahed Malaysia ketika ini memiliki lebih 300,000 pengguna dengan memperolehi sokongan positif khususnya kalangan pengguna antara 18 sehingga 35 tahun – yang mana membawa jumlah besar kepada penggunanya, iaitu sekitar 85%. Maka menerusi perluasan pelaburan kepada Wahed Ventures, ia dilihat akan meningkatkan lagi penyertaan pengguna di samping melonjakkan kemasukan pelaburan asing untuk manfaat ekonomi tempatan.