Artikel

Tahap Kesihatan Mental Belia Malaysia Berusia 30 Tahun Ke Bawah – Kini Di Paras Sederhana

Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 (MyMHI’23) dipaparkan pada hari ini ternyata menunjukkan paras mental orang muda berusia antara 15 tahun hingga 30 tahun di negara, di paras sederhana. 

Secara keseluruhannya, MyMHI’23 yang melibatkan 5,867 responden ini, menunjukkan kesihatan mental belia berada pada tahap sederhana dengan skor 71.91. Diikuti aspek pengalaman hidup mencatatkan skor tertinggi (88.51) iaitu berada pada tahap memuaskan manakala aspek persekitaran pula mencatatkan skor terendah (65.45) iaitu berada pada tahap sederhana. 

Skor menyeluruh itu secara jelas berpotensi menjadi petunjuk awal untuk mendorong belia negara ke arah masalah kesihatan mental yang lebih serius. Berdasarkan data indeks, untuk tahun 2020, 1 dalam 10 orang muda cenderung untuk akhiri kehidupan mereka dan mengikut jumlah, bilangan tersebut telah alami pertambahan 1,166 orang kepada 2,119 bagi tahun 2020. Maka beberapa langkah intervensi wajar dilaksanakan segera.

Antaranya menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah dengan meluaskan kesedaran berhubung kesihatan mental daripada pelbagai pihak, promosi gaya hidup sihat untuk menamatkan tanggapan negatif, perkasa orang muda untuk libatkan diri dalam aktiviti berkumpulan serta meningkatkan kemudahan asas dan kediaman yang lebih teratur bagi memastikan persekitaran bebas tekanan dimiliki orang muda Malaysia.

Buat pengetahuan umum, pengukuran indeks ini melibatkan kebersamaan data antara Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, KBS serta United Nations Children’s Fund (UNICEF). Ini perincian lanjut berdasarkan 7 aspek utama dalam Indeks Kesihatan Mental Belia di Malaysia:

  • Gaya Hidup (tahap kesihatan, pengambilan makanan, kewangan, tabiat berisiko, hubungan sosial dan keseimbangan hidup)
  • Persekitaran Semasa (media sosial, persekitaran fizikal, keselamatan, jangkaan sosial dan persekitaran keluarga)
  • Individual (tahap kepuasan, rohani, matlamat hidup, kawalan emosi, daya tahan, penguasaan)
  • Pengalaman Hidup (penderaan, buli, tanggapan dan penindasan)
  • Sokongan Sosial (keluarga, kenalan, pihak berkaitan dan pakar)
  • Kaedah Menangani (pengurusan tekanan)
  • Kesejahteraan Minda (kemurungan dan kebimbangan)