Tiga bulan pertama tahun 2024, dijangka akan menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik bersama anggaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 3.9% berbanding 3% pada suku keempat tahun 2023.
Anggaran KDNK awalan merujuk kepada data dua bulan pertama dalam sesebuah data sukuan (3 bulan). Anggaran ini boleh dijadikan petunjuk awal pertumbuhan KDNK negara pada tempoh suku tahun tersebut.
Mengikut data Jabatan Perangkaan (DOSM), prestasi ekonomi ini dicetus hasil pertumbuhan positif dalam semua sektor pada suku pertama 2024 – khususnya dipacu oleh sektor Perkhidmatan (4.4%).
Segmen perkhidmatan negara memaparkan sumbangan yang tinggi pada bahagian perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan serta perkhidmatan perniagaan. Malah perkembangan prestasi dalam segmen kewangan dan insurans juga dilihat semakin membrangsangkan.
Selain itu, sektor Perlombongan dan Pengkuarian (4.9%) serta sektor Pembinaan (9.8%) juga antara aspek prestasi ekonomi Malaysia meningkat semula.