Artikel

Hanya 18% Rakyat Malaysia Didapati Sedia Pelan Simpanan Untuk Bersara Kelak

Biarpun kesedaran berkaitan simpanan kian meluas, didapati masih ramai rakyat negara yang kurang cakna akan kepentingan tersebut. Apabila data Indeks Ketahanan Kewangan Malaysia-Asia menunjukkan setakat ini hanya 18% rakyat negara sahaja yang miliki pelan simpanan untuk persiapan hari tua mereka kelak.

Laporan terbitan Sun Life ini turut menjelaskan meskipun sekitar 66% responden optimis untuk mencapai matlamat kewangan jangka panjang yang lebih baik namun hanya 38% sahaja yang miliki pelan kewangan stabil melebihi 1 tahun.

Secara menyeluruh, generasi Y atau kumpulan Milenial yang berusia antara 28 tahun sehingga 43 tahun diperhatikan menjadi generasi yang paling celik akan kepentingan kewangan. Berbanding generasi lain mereka didapati lebih optimis tentang perancangan kewangan masa hadapan (69%), dan berupaya membuat keputusan kewangan berdasarkan pengetahuan (65%). Malah golongan Milenial juga miliki keyakinan yang lebih tinggi untuk rancangan kewangan masa hadapan (71%) berbanding warga emas (57%).

Selain itu, berdasarkan segmen perlindungan insurans dan takaful pula didapati hanya 28% rakyat sahaja benar-benar memahami pengetahuan kepentingan produk tersebut. Sementara 72% akui peranan insurans, takaful berpotensi membantu lindungi kewangan mereka.


Menerusi dinamik laporan ini, tahap perlindungan kewangan rakyat Malaysia dijangka berupaya meningkat secara berkala. Meskipun tahap pelan simpanan pencen masih lagi rendah namun perluasan pengetahuan berkaitan kewangan berupaya membantu rakyat negara merangka perbelanjaan mereka secara berhemah.