Artikel

Tahap Kebimbangan Rakyat Berkaitan Rasuah, Inflasi, Cukai Di Malaysia Semakin Melonjak – Ipsos

Biarpun terdapat 53% rakyat negara mengekalkan keyakinan mereka terhadap hala tuju Malaysia, didapati 47% pula meluahkan rasa kebimbangan akan prestasi semasa. Antaranya melibatkan tahap rasuah di negara serta paras inflasi dan pengenalan cukai baharu. 

Dapatan Ipsos pada minggu ini secara jelas menunjukkan tahap kebimbangan penduduk negara telah mulai meningkat daripada 34% pada awal 2023 kepada 47% setakat Mac 2024 lalu.

Sementara kadar penduduk negara yang optimis pada hala tuju negara pula dilihat kian menurun daripada 66% pada Mac 2023 kepada 53% pada Mac 2024. 

Peningkatan kebimbangan itu didasari berasaskan persekitaran kewangan dan gejala rasuah (50%), inflasi (38%), kadar pengangguran (32%), ketidaksamaan sosial dan kemiskinan (31%) dan cukai (23%).

Melihat pada faktor tersebut, tekanan aspek cukai berikutan pelarasan cukai perkhidmatan kepada 8% dalam beberapa kategori serta pengenalan cukai baharu kelak. Tindakan tersebut secara langsung memberi kegusaran kepada penduduk akan kuasa perbelanjaan di pasaran. 

Secara menyeluruh, berlandaskan data suku tahunan didapati tahap keyakinan pengguna telah menurun daripada 54% kepada 49% sepanjang tahun lalu. Penurunan lebih ketara direkodkan pada suku keempat 2023.