Artikel

KWSP: Butiran Penstrukturan Akaun 3 Akan Diumum Sebelum Akhir April Ini

Selari dengan pengumuman yang dilaksanakan ketika Belanjawan 2024 terdahulu – KWSP akan perkenalkan Akaun 3 iaitu Akaun Fleksibel kepada kumpulan pencarum mulai April ini.

Berdasarkan pembentangan bajet itu, akaun baharu tersebut akan bertindak sebagai akaun yang membolehkan para pencarum mengakses dana pada bila-bila masa dengan anggaran caruman pada peringkat awal antara 5% sehingga 10%. 

Akan tetapi berdasarkan laporan NST semalam (16 April) dimaklumkan pelarasan peratusan caruman akaun KWSP kini sedang dilaksanakan. Di mana terdapat potensi sekitar 10% caruman bulanan ahli akan dikreditkan pada Akaun 3. 

Sementara Akaun 1 pula meraih peningkatan peratusan caruman kepada 75% dan Akaun 2 pula alami penurunan peratusan caruman kepada 15%. 

Untuk makluman umum, ketika ini 70% caruman dimasukkan ke dalam Akaun 1, disusuli 30% ke Akaun 2. 

Berikutan makluman tersebut, KWSP pada ciapan maklum-balasnya di laman X menjelaskan pihaknya kini sedang muktamadkan kaedah penstrukturan semula akaun KWSP dan perincian tersebut dijangka akan diumumkan sebelum akhir April 2024 ini.

Susulan itu, KWSP menasihatkan agar semua pihak mendapatkan maklumat rasmi daripada pihaknya dan perincian lanjut berhubung Akaun 3 ini akan dikemaskini dalam tempoh terdekat.