Selain ingin memiliki keseimbangan waktu bekerja, manfaat sokongan majikan dalam membantu kumpulan pekerja meraih perkembangan kemahiran juga dilihat penting pada era ekonomi digital semasa.
Namun sekiranya aspek tersebut tidak disediakan oleh majikan, 43% pekerja muda kalangan generasi Z (Gen Z) akui mereka tidak gusar untuk berhenti kerja. Ini kerana menurut data Ranstad Malaysia, keperluan sokongan peningkatan kemahiran pekerja amat diperlukan pada pasaran semasa, ia tidak sekadar membantu keyakinan pekerja dalam menyumbang kepada operasi tetapi turut meningkatkan kecekapan prestasi syarikat secara berkala.
Malah ekoran tekanan kos sara hidup semasa, sokongan kemahiran pekerja dilihat penting untuk membantu para pekerja muda meraih manfaat pada pelan kerjaya mereka di masa hadapan. Tidak hanya Gen Z, langkah tersebut turut diakui oleh 44% pekerja kalangan milenial, 29% pekerja generasi X (Gen X) dan 15% pekerja kalangan warga tua.
Selanjutnya, pekerja negara turut ingin para majikan mengutamakan beberapa perkara penting seperti sokongan kesihatan mental (87%), manfaat insurans dan kesihatan (90%), keselamatan (88%), fleksibiliti waktu bekerja (89%) dan perolehan gaji lebih baik (94%).
