Artikel

Konflik Timur Tengah : Bank Negara Pastikan Pasaran Kewangan Malaysia Kekal Teratur, Cekap

Selari dengan pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim berikutan konflik Timur Tengah antara Iran-Israel minggu ini – Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan kekal bersedia menggunakan instrumen kewangan yang ada bagi memastikan pasaran kewangan negara terus teratur dan berfungsi dengan cekap. 

Ini merangkumi pasaran berkaitan mudah tunai serta pertukaran asing tidak terjejas dan kekal beroperasi seperti yang dilaraskan. Aturan ini turut disokong oleh inisiatif berterusan bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat korporat dan pengeksport dalam membawa masuk aliran dan mudah tunai ke dalam pasaran pertukaran asing.

Rentetan itu, BNM terus memantau keadaan pasaran kewangan dengan teliti dan akan menguruskan sebarang risiko yang berpunca daripada volatiliti pasaran kewangan.

Setakat ini,  BNM telah mengadakan sesi libat urus dengan peserta pasaran kewangan, termasuk ketua operasi perbendaharaan, yang bersetuju bahawa sebarang ketidakpastian akan berkurang dan menjadi stabil apabila keadaan ketegangan geopolitik semakin reda.