Artikel

BNM Tidak Pertimbang Kenakan Kawalan Modal, Untuk Kukuhkan Ringgit

Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) secara berperinsip menjelaskan, langkah kawalan modal ataupun menambat ringgit tidak akan dilaksanakan bagi mengukuhkan mata wang negara – ini kerana aturan yang pernah dijalankan sewaktu Krisis Kewangan Asia 1997 tersebut berupaya mengakibatkan kesan buruk ke atas ekonomi semasa.

Langkah itu secara jelas bukanlah penyelesaian mutlak ke atas ekonomi dan sistem kewangan Malaysia. Malah aturan itu secara langsung berpotensi beri kesan kepada peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Setakat ini diperincikan pergerakan ringgit dan mata wang serantau telah dipengaruhi faktor-faktor global, khususnya ketidakpastian mengenai jangka masa dan tahap pelarasan kadar faedah oleh bank-bank pusat global. Hal ini terus dibuktikan oleh data pasaran pekerja Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh daripada jangkaan pada 5 April 2024 yang menunjukkan ekonomi AS yang lebih berdaya tahan, lantas meningkatkan risiko Federal Reserve AS (Fed) mengekalkan kadar faedah yang lebih tinggi bagi tempoh yang lebih lama.

Namun mesyuarat menyatakan bahawa jangkaan pasaran terus kekal bagi Fed AS untuk menurunkan kadar faedah pada separuh kedua tahun 2024. Jangkaan itu sekaligus akan memberi rangsangan positif pada mata wang negara.

Buat pengetahuan umum, sejak 26 Februari lalu – ringgit merupakan satu-satunya mata wang serantau yang mengukuh berbanding dolar AS (US dollar, USD), iaitu meningkat sebanyak 0.6%. Sementara prestasi mata wang serantau lain pula menurun dengan KRW (-1.6%), THB (-1.5%), IDR (-1.4%), CNY (-0.5%), SGD (-0.3%). 

Berikutan itu, FMC optimis usaha-usaha yang sedang dilaksanakan dapat dikekalkan antaranya tumpuan yang diberikan pada pendapatan pelaburan dan hasil eksport yang positif. Malah pengukuhan ringgit yang berterusan juga mampu meningkatkan minat yang lebih meluas untuk pertukaran asing (FX) oleh syarikat korporat yang miliki lebihan pegangan mata wang asing, lantas memberikan sokongan lanjut terhadap sentimen ringgit.