Bagi memastikan keselamatan 60% penumpang tren wanita terus terjamin, Rapid Rail memaklumkan penyediaan koc wanita pada Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya kini telah tersedia – bermula hari ini (8 April).
Pelaksanaan itu difahamkan adalah kesinambungan inisiatif Rapid Rail dalam penyediaan perjalanan yang lebih selesa untuk penumpang wanita. Sebelum ini, pihaknya telah laksana pelan perintis penyediaan koc wanita di MRT laluan Kajang. Untuk pengetahuan inisiatif itu telah dilaksanakan pada pertengahan September 2023 lalu.
Selanjutnya, dimaklumkan sebanyak 36 stesen bersama 49 tren pada MRT laluan Putrajaya telah dipasang pelekat khas bewarna merah jambu dan bertempat di bahagian tengah setiap tren. Pemasangan itu sekaligus akan memudahakan penumpang wanita untuk mengenalpasti koc yang tersedia.
Secara menyeluruh, menerusi penyediaan koc tersebut dianggarkan sehingga 400 penumpang boleh dimuatkan pada dua koc wanita di laluan MRT Putrajaya tersebut.