Artikel

Shopee: Hampir 82% Pengguna Gen Z Pilih Berbelanja Di E-Dagang, Ekoran Harga Lebih Berbaloi

Platform e-dagang ternyata terus menjadi pilihan buat Generasi Z dalam memenuhi kehendak perbelanjaan mereka di pasaran semasa. Tabiat ini menurut Shopee Malaysia pada kajian Masa Hadapan Membeli-Belah menunjukkan 7 dalam 10 pengguna Gen Z yang berusia 18 tahun ke 24 tahun menjadikan platform e-dagang sebagai titik utama mereka ketika berbelanja. 

Lebih menarik, kumpulan ini turut didapati secara aktif menjadikan platform e-dagang sebagai medium untuk mereka lebih memahami barangan sebelum laksana pembelian. 

Di mana 67% pengguna Gen Z akui ketika berbelanja, kumpulan ini akan mengutamakan ulasan pembeli ke atas barangan jualan. Malah cadangan pempengaruh turut akan mempengaruhi mereka terhadap kualiti barangan jualan tersebut. Mereka melihat komunikasi jelas tentang manfaat dan keberkesanan produk sebagai justifikasi pembelian, mengutamakan produk yang membawakan nilai berbaloi daripada kemampuan milik (16%) dan kualiti (17%). 

Tidak hanya itu hampir 82% pula memaklumkan pemilihan berbelanja di platform e-dagang – didorong tawaran pilihan produk dan jenama yang lebih meluas, diikuti harga tawaran yang kompetatif serta ulasan kualiti yang lebih telus menjadikan ia sebagai faktor pembelian dilaksanakan di e-dagang. 

Sementara 18% pula melihat perkongsian barangan yang lebih terperinci menjadikan platform e-dagang sebagai pilihan ruangan untuk mereka berbelanja. Data ini secara langsung menunjukkan cara membeli-belah Gen Z yang dipacu data di mana mereka aktif menggunakan fungsi platform untuk mengesahkan pembelian sebelum komited membeli.