Dalam usaha merancakkan lagi potensi ekonomi Malaysia bersama sokongan pengangkutan antara negeri, dijangka kemudahan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berpotensi disiapkan pada Disember 2026 dan berupaya beroperasi mulai Januari 2027 kelak.
Kemudahan ini sekaligus akan memberi penjimatan masa dan tenaga buat penduduk di jajaran laluan merentasi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), setakat Mac 2024 ini kemajuan pembangunan rel telahpun mencapai 64% dan difahamkan pada fasa pembinaan tersebut, kerja pengorekan Terowong Berkembar Genting sepanjang 16.39km sedang dilaksanakan. Untuk maklumkan, sekiranya proses penembusan terowong berjaya dicapai pada suku kedua 2025 kelak ini akan menjadikan ia sebagai terowong rel terpanjang di Asia.
Secara menyeluruh, menerusi ketersediaan ECRL tidak lama lagi ia berpotensi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara sekitar 3.8% menjelang 2047. Rangsangan ekonomi ini menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI) tidak sekadar melibatkan aspek perniagaan tetapi merangkumi aktiviti pelancongan serta perbelanjaan pengguna.