Artikel

MAMEE Labur RM150 Juta Pada Teknologi Pengeluaran – Sasar Perluas Rangkaian Snek Halal

Bagi menggandakan lagi prestasi jenama dalam pasaran snek halal global, Mamee-Double Decker kini merancang untuk melabur RM150 juta pada fasiliti teknologi pengeluaran operasi. Langkah itu sekaligus akan membantu operasi melancarkan aturan pengeluaran dan terus mengukuhkan pertumbuhan jenama. 

Setakat ini sahaja, Mamee telah laksana aliran eksport ke lebih 80 buah negara bersama penghantaran hampir 300 kontena setiap bulan melibatkan pengeluaran kilangnya di Malaysia. 

Malah selain memiliki permintaan yang tinggi pada pasaran AS dan Eropah, mengikut laporan Mamee turut menjalin perkongsian kukuh bersama syarikat global seperti The Lotus Biscoff Group di Belgium, diikuti Shinsagae Foods yang berpangkalan di Korea. Perkongsian ini secara langsung membolehkan Mamee terus perluas rangkaian snek halal mereka di pasaran global.

Berbalik kepada pelan pelaburan, di samping meningkatkan teknologi pengeluaran – Mamee turut menyasarkan peningkatan jualan mereka berlaku dalam tempoh 3 tahun menjelang 2027 kelak.

Matlamat ini difahamkan akan dipacu bersama sokongan penuh antara jenama dan insiatif di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).