Ketika ini sejumlah 9.24 juta rakyat Malaysia dimaklumkan telah mendaftar dan mengemaskini maklumat mereka pada sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Peningkatan itu menurut Jabatan Perangkaan (DOSM) memaparkan kebanyakan negeri telah mencapai lebih 40% pendaftaran pada sistem tersebut. Setakat ini Perlis mengungguli penyertaan dengan 50% penduduknya telah mengemaskini data di PADU.
Seperti yang umum ketahui, PADU merupakan usaha negara untuk melaksanakan pelan subsidi secara bersasar dengan meneliti pemilikan aset kalangan penduduk negara sebagai pengukur kepada kelayakan perolehan agihan bantuan.
Ini merangkumi pemilikan aset seperti kediaman, kenderaan, serta aset lain. Tidak hanya itu kriteria lain yang turut akan diambilkira adalah pendapatan, isi rumah, tanggungan, lokaliti dan jarak ke tempat bekerja. Langkah ini sekaligus memberi cerminan sebenar akan tanggungan penduduk negara pada ekonomi semasa.
Meskipun angka pendaftaran PADU semakin membrangsangkan, namun ia jelas menunjukkan jumlah tersebut masih jauh daripada jangkaan yang ditetapkan iaitu disasarkan seramai 29 juta rakyat negara mengemaskini maklumat PADU mereka sebelum tarikh akhir 31 Mac ini.