Selaras dengan pemerkasaan jana tenaga boleh baharu (TBB), kerajaan Malaysia kini perkenalkan skim SolaRIS (Solar for Rakyat Incentive Scheme) bagi menggalakkan pemasangan sistem solar PV (fotovoltaik) dimanfaatkan di premis kediaman pengguna domestik negara.
Usaha ini secara langsung selari dengan matlamat negara untuk mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kapasiti TBB kepada 70% menjelang tahun 2050 kelak.
Melalui pelancaran SolaRIS ini, ia disasar meningkatkan penjanaan solar dalam kalangan rakyat di bawah agenda NEM – Net Energy Metering. Di mana agenda ini akan dibuka mulai 1 April 2024 sehingga 31 Disember 2024 kelak, terbuka kepada semua warganegara Malaysia bersama had tuntutan sekali bagi setiap individu selaku pemegang akaun TNB.
Di bawah skim ini, turut dimaklumkan pemberian rebat berjumlah RM1,000/kWac sehingga RM4,000 akan tersedia kepada pengguna domestik. Namun perolehan rebat tersebut adalah terhad berdasarkan kuota yang ditetapkan dan ia hanya diagihkan setelah pemasangan sistem solar dan pengoperasiannya dilaksanakan premis – nilai tersebut dimaklumkan akan dikreditkan kepada akaun pemegang bil.
Secara menyeluruhnya, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi menjelaskan insentif sedemikian akan dikendalikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan perincian lanjut boleh dirujuk di laman TNB, SEDA Malaysia dan Suruhanjaya Tenaga.