Artikel

Perkhidmatan Ninja Restock Kini Dilancarkan Demi Memperkukuhkan Lagi Sektor B2B

Sempena Ulang Tahun Ninja Van yang kesembilan, satu lagi inisiatif baru dengan peluasan perkhidmatan dilaksanakan Ninja Van tampil dengan pelancaran perkhidmatan baru yang dinamakan sebagai Ninja Restock.

Perkhidmatan Ninja Restock ini adalah salah satu inisiatif yang dibawakan pihak mereka bagi menambah baik corak perkhidmatan pembekalan semula barangan perniagaan ke perniagaan (B2B). Ninja Van akan berfungsi sebagai pengantara dalam urusan pengambilan dan penghantaran stok daripada pengeluar kepada peruncit.

Menerusinya, Ninja Van memberi jaminan bahawa permasalahan dari segi ketiadaan ciri menjejak bungkusan waktu nyata dalam sektor pembekalan semula akan dapat diselesaikan.

Hal ini kerana, keupayaan menjejak barangan dalam perkhidmatan perniagaan ke perniagaan masih belum wujud buat masa ini sekaligus menyebabkan timbul masalah dari segi kepekaan terhadap masa ketibaan penghantaran barang. Justeru itu,dengan Ninja Restock, solusi kepada isu sedemikian akan dapat ditangani.

Bukan itu sahaja, perkhidmatan Ninja Restock ini juga turut ditawarkan dengan liputan 100% di seluruh Malaysia. Jaminan kepantasan penghantaran barangan juga dijanjikan dengan cuma mengambil masa 1 hingga 3 hari sahaja.

Sistem perkhidmatan Ninja Restock turut membolehkan sesebuah perniagaan untuk mengurangkan penyimpanan stok di kedai tetapi masih dapat mengelakkan masalah kehabisan stok daripada berlaku. Ia dengan melakukan pesanan pembekalan semula stok dalam jumlah kecil hanya jika terdapat permintaan melebihi stok yang disimpan. Disamping dapat mengawal pengurusan kos dalaman dengan lebih cekap serta tidak perlu terikat dengan jadual penghantaran.

Ninja Restock turut menyasarkan perkhidmatan ini kepada semua jenis pasaran dan perusahaan perniagaan seperti barangan gaya hidup, ubat-ubatan, pembuatan & elektronik, Fast Moving Consumer Goods (FMCG), Multi-Level Marketing (MLM) serta makanan & minuman (F&B).

Harga untuk perkhidmatan ini adalah bergantung kepada jumlah muatan stok barangan yang ingin dibekalkan dimana jumlah minimum adalah di antara 15kg – 20kg.

Demikian dengan pelancaran perkhidmatan seumpama ini daripada Ninja Van menunjukkan komitmen mereka dalam menjadikan lapangan logistik ekspres e-dagang ke tahap yang lebih baik sekaligus menambah baik sistem perkhidmatan pembekalan semula dalam sektor B2B hari ini.