Pasaran modal negara dilihat terus berdaya saing apabil saiz pasaran kini telah berkembang sebanyak 5.6% kepada RM3.8 trilion pada tahun 2023. Kapasiti ini terus meningkat berbanding tahun 2022 dengan RM3.6 trilion.
Prestasi ini mengikut Laporan Tahunan Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah didorong akan pertumbuhan permodalan melibatkan pasaran ekuiti, jumlah bon dan sukuk belum tebus. Meskipun berdepan cabaran ekonomi global dan jangkaan yang berbeza pada dasar monetari dalam ekonomi utama negara, pasaran modal dilihat kekal memaparkan prestasi yang baik.
Sementara pasaran modal Islam Malaysia (ICM) pula turut berkembang sebanyak 4.5% kepada RM2.4 trilion pada 2023 dengan sukuk terkumpul berkembang sebanyak 7.4% dan ekuiti patuh Syariah sebanyak 1.5%.
Seperti yang umum ketahui, SC kini telah mengeluarkan Panduan Maqasid Al-Shariah bagi mengukuhkan lagi daya saing pasaran modal Islam negara untuk meningkatkan kesan sosial dan ekonomi.
Antara lain yang turut diperincikan pada laporan SC adalah peningkatan IPO juga berlaku kepada RM3.6 bilion pada tahun 2023 berbanding RM3.5 bilion bagi 2022. Malah aktiviti pembiayaan alternatif yang menyokong Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) turut dilihat menggalakkan dengan perolehan dana berjumlah RM3.8 bilion.